Search This Blog

Tuesday, May 18, 2010

Tatkala mata melihat & telinga mendengar

Semalam anakku Hakeem meniru satu gelagat yang ingin aku kongsi bersama di dalam blog ini. Semasa Haris bersiap sedia untuk bersolat isyak, dia membentangkan sejadahnya dia atas lantai. Selepas itu dia ke bilik air seketika. Hakeem yang pada mulanya sedang elok bermain-main seorang diri dia atas tilam pergi ke sejadah dan berdiri di atasnya. Aku sedang leka dengan laptop ku, menoleh ke arahnya dan terpegun dengan keletahnya. Dia memandang aku lalu berkata "tim abar" (Keem Allahuakhbar)...memahami maksudnya aku mengangguk dan berkata "OK, Hakkem nak sembahyang ye?"...dia menjawab "ah"...mengiyakan pertanyaanku. Aku memanggil Haris. Kami melihat perlakuannya bersama. Memulakan dengan mengangkat tangannya dia terus meniarap di atas sejadah itu dan melaungkan Allahuakhbar dengan pelatnya. Kemudian dia duduk dan terus berkata amin dan menyapu mukanya dengan kedua-dua tangannya.

Bayangkanlah, seusia 2 tahun dia mengajuk perlakuan ayahnya ketika bersembahyang. Tak sempurna, tetapi konsep melakukan solat itu padanya bukanlah sesuatu yang ganjil.

Ini membuktikan bahawa, anak-anak memerhati perlakuan kita; buruk & baik. Mereka mengajuk perlakuan kita walaupun tidak memahami sepenuhnya.

Ini mengingakan aku kembali tentang seseorang semasa aku berusia 13 tahun. Masa tu, kami menetap dia KKB semasa ayah mengajar dia Maktab Polis. Dia ni bukanlah kawan rapat, tetapi salah seorang anak polis di berek belakang yang memang terkenal dengan kenakalannya. Yang aku ingat sangat pasal dia ni, suka sangat mencarut-carut. Maklumlah, dalam keluarga aku manakan mungkin kami boleh bercakap seumpamanya. Memang tak pernahlah kami adik beradik berani nak bercakap kasar sesama sendiri (mau tak terbeliak mata ibu kalau kami bercakap bukan-bukan). Jadi tiap kali aku mendengar ucapannya yang agak kasar, dan menyebut beberapa perkataan yang sungguh asing aku rasa tidak selesa. Aku rasa pelik macam manalah budak yang lebih muda dari ku, boleh mempunyai kebebasan "cakap lepas"?...Ketika aku berpeluang berlegar-legar di kawasan berek polis belakang rumah ku, aku terdengar pekikan seorang ibu kepada anaknya; aku tersedar bahawa ibu itu sedang memarahi anaknya. Bila ditenung lagi, aku menyedari bahawa perempuan itu ada lah ibu kepada budak lelaki itu; sambil menjerit-jerit kepada anaknya, tak lepas-lepas ungkapan kasar umpama carutan kepada anaknya. Aku masa tu pun bukanlah bijak sangat, baru tingkatan 2 tapi yang buat aku terpegun melihat betapa kasarnya bahasa digunakan oleh ibu itu pada anaknya. Patutlah budak lelaki itu langsung tidak kekok dengan bahasa-bahasa carutan kerana dia terlalu biasa mendengarnya di rumahnya.

Jadi bayangkanlah, betapa persekitaran keluarga penting membentuk personaliti anak-anak. Kalau si ayah sudah biasa memukul isterinya di depan anak-anak..walaupun anak-anak berasa takut, bukankah itu sudah menjadi kebiasaan pada mereka? Bagaimana seorang perempuan dilayani oleh lelaki, bagaimana kekerasan menjadi penyelesaian kepada masalah.

Aku bukanlah seorang yang sempurna tapi aku kerap mengingati diriku agar jangan mudah terikut-ikut dengan perasaan marah, jangan cepat melatah dan bertindak bodoh kalau terasa keliru. Kalau boleh tidak mahu anak-anakku terdedah dengan sikap negatif ku. Anak-anak memerhati tindak tanduk kita, mereka mendengar ucapan kita bila kita bercakap. Mereka akan bertanya kenapa orang itu bersikap ganas atau kasar atau sebaliknya. Mereka inginkan penjelasan...tapi apa gunanya kalau kita bersikap umpama "ketam mengajar anaknya berjalan lurus?"...Kalau kita tidak menunjukkan perlakuan yang baik masakan kita mengharapkan anak kita bersikap mulia?

Pernah suatu hari Hazrik bertanya kepadaku, semasa kami menonton berita CNN.."kenapa orang yang mengaku dirinya Islam, bertindak membunuh orang tanpa belas kasihan dan meletupkan diri nya? Bukan ke bunuh diri itu berdosa?" Aku mengambil masa untuk memberi penjelasan kepadanya tentang orang yang bersikap ekstrem & yang terpesong dengan pegangannya. Sama ada dia faham atau tidak...aku tak pasti. Apa yang buat aku terpikir, anak bujang ku itu baru sahaja 9 tahun & dia memerhatikan dunia sekelilingnya sekarang dan ianya bukan lagi sekadar persekitarannya tapi jauh ke dunia luar. Dia mendengar berita, cerita dan ungkapan asing yang bukan lagi dalam kawalan ku.

Jadi, apa yang penting, apa yang boleh aku kawal adalah asas pegangannya. Aku perlu bina prinsip anak-anakku agar dia bijak memilih jalan untuknya sendiri. Dia perlu mempelajari dari kesilapannya dan bertanggung jawab ke atasnya.

Kepimpinan bukan sekadar mengarah, menunjuk jalan dan mengharap orang bimbingan kita mengikuti arahan itu. Tapi kepimpinan perlu datang dengan sifat belas dan keupayaan untuk memberi contoh. Kejayaan bukan perlu di puji atau diber penghormatan. Bagi ku, biarlah perlakuan baik yang kita tonjolkan menjadi inspirasi kepada mereka menjadi lebih baik.

No comments:

Post a Comment